Get Widget
Kisah Dina & Hazim: Debaran Imam Muda

Jul 30, 2010

Debaran Imam Muda


BERHADAPAN dunia realiti sebagai Imam Muda menjadi cabaran besar buat Asyraf dan Hizbur. Sebaik program Imam Muda menutup tirai malam ini, mereka akan berhadapan dengan masyarakat sebagai seorang selebriti agama yang dihormati dan disegani.


Penentuan siapa yang bakal diangkat sebagai pemenang program Imam Muda musim pertama ini boleh diikuti menerusi saluran Astro Oasis, jam 9 malam ini. Asyraf atau Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan berkata, perasaannya kini bertukar daripada bersyukur dapat menyertai program Imam Muda ini kepada bimbang yang menguasai dirinya. “Dulu saya gembira apabila terpilih menyertai program ini, namun selepas tinggal berdua, perasaan itu bertukar bimbang dan berdebar. Saya tahu bagaimana harapan masyarakat sebaik Imam Muda melangkah keluar nanti.

“Dari segi teorinya, sudah dapat gambaran bagaimana keadaan di luar namun saya belum menempuh keadaan sebenarnya. Pihak Astro sendiri sudah menerangkan bagaimana akhlak, keterampilan, imej dan sebagainya, tetapi sekadar teori saja. Saya belum menempuhnya dunia sebenar,” katanya.

Dari segi persaingan dengan sahabat sendiri, Asyaraf bagaikan hilang rasa gemuruh seperti mana orang lain melalui pertandingan akhir.

“Persaingan sudah tidak terasa sangat sebab nilai persaingan dalam pertandingan itu sudah seperti tidak ada. Sehingga melepasi tahap ini saya rasakan sudah berjaya,” katanya.

Asyraf juga tidak mahu dilihat sebagai seorang yang sukar didekati sebaliknya menjadi diri sendiri memudahkan dia mendekati masyarakat.

“Saya harus mengubah cara untuk berhadapan dengan masyarakat. Banyak perkara baru saya pelajari terutama cara berkomunikasi dan berhadapan dengan masyarakat pelbagai peringkat usia. Antara yang tidak pernah saya sangka seperti pembentukan imej diri, protokol, cara berjalan yang dulu saya tidak pernah ambil kisah dan inilah indahnya Islam sekiranya dihayati betul-betul,” katanya.

Sementara itu, bagi anak jati Baling, Kedah, Hizbur berkata, kehidupan selepas ini sudah pasti berbeza dan cabaran besar buatnya akan bermula sebaik melangkah keluar daripada program Imam Muda.

“Paling saya takut kerana harapan orang terlalu tinggi. Secara peribadinya saya tahu diri saya, kelebihan dan kekurangan saya, jadi saya takut tak mampu untuk memberi yang terbaik kepada masyarakat.

“Wang atau harta bukan yang saya pandang, tetapi yang paling saya takut adalah fitnah. Saya sudah berkahwin dan paling takut adalah perempuan. Itu paling risau sebab Rasulullah s.a.w dalam kitab ada menyebut perempuan adalah fitnah segala-galanya bagi lelaki.

“Saya sentiasa berdoa untuk menetapkan iman kepada Allah,” katanya sambil menegaskan menang atau kalah, dia tetap kembali bertugas sebagai guru Tahfiz di kampungnya.

“Saya akan kembali bertugas sebagai guru tahfiz dan pada masa yang sama ruang akan dipenuhi dengan aktiviti khidmat masyarakat, ceramah, tazkirah dan macam-macam lagi.

“Saya perlu menjadi diri sendiri, apa yang orang lihat saya dulu dan kini sama saja, namun saya akan mengubah kelemahan yang saya sendiri tidak ketahui selama ini,” katanya.

Rindu, harapan daripada isteri

MAHU atau tidak, dua peserta akhir Imam Muda, Hizbur dan Asyraf tidak terlepas menjadi perhatian masyarakat sebaik program ini menutup tirainya malam ini. Dengan kata lain, mereka bakal digelar selebriti agama yang akan berhadapan dengan gosip panas.

Persoalannya, adakah isteri mereka bersedia menghadapi cabaran yang bakal dilalui termasuk berhadapan dengan pengikut wanita.

Bagi isteri kepada Hizbur, Liliyana Hassanah Yudi, 23 atau Lili, kebimbangan memang dirasai namun pesanan suami agar bersabar dan saling percaya mempercayai dipegang sebaik-baiknya.

“Kami sentiasa saling ingat mengingati agar tiada kebimbangan. Memang risau pada mulanya, namun selepas berfikir semula saya harus bersedia dan berdoa agar kami dihindari daripada fitnah dan buruk sangka daripada masyarakat,” katanya.

Menurutnya, dia tidak meletakkan harapan tinggi kepada suaminya untuk memenangi program Imam Muda, tetapi yang penting adalah mengamalkan ilmu sepanjang berada dalam program ini.

“Saya sangat bersyukur kerana dia melepasi segala tugasan yang diberikan dengan baik, bererti dia berjaya di dalam menjayakan program ini. Jika di berjaya, saya berharap niat untuk membawa ibunya menunaikan haji termakbul,” jelasnya.

Lili mengakui teramat merindui suaminya sejak hampir tiga bulan ditinggalkan dan bersyukur berpeluang menemui suaminya minggu lalu.

“Saya reda dan sabar kerana memahami perjuangannya untuk agama. Saya bersyukur apabila Astro membenarkan kami berjumpa minggu lalu apabila dia dibenarkan balik ke kampung berjumpa,” katanya yang sentiasa mendoakan kejayaan suaminya di dalam apa saja perkara.

Bagi isteri kepada Asyraf, Nur Husna Yusuff, 23 yang baru lima bulan mendirikan rumah tangga berkata, segala cabaran yang harus dilalui suami selepas ini akan dipikul bersama.

“Saya juga sudah diberitahu awal dari suami yang harus sentiasa bersedia dengan cabaran selepas ini. Apa saja yang berlaku selepas ini, sebagai isterinya akan bersama-sama menghadapi apa saja dugaan.

“Saya juga tahu yang dia akan menjadi orang dikenali tetapi apa yang kami buat adalah sentiasa saling percaya mempercayai, jujur dan sabar. Kami akan sentiasa mengingatkan agar berpegang kepada niat asal kita iaitu mencari seberapa banyak ilmu untuk dikongsi bersama masyarakat islam,” katanya.

Menurut Husna, sebagai isteri adalah menjadi harapan untuk melihat suaminya berjaya tetapi bukan sekadar menjuarai program Imam Muda.

sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/GelisahImamMuda/Article

Kepada sesiapa yang berkelapangan dan berkesempatan , mari kita sama-sama menonton rancangan ni. Walau siapa pun yang akan dinobatkan sebagai Imam Muda pada pandangan Irma mereka berdua adalah yang tebaik.

 Sejuk perut ibu yang melahirkan.

 Satu cabaran besar untuk mendidik dan melahirkan sebagai Imam Muda.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnag